Friday, June 5, 2009

PERHUBUNGAN DIANTARA DOKTOR

* Seorang doktor adalah saudara kepada setiap doktor yang lain dan rakan sejawat di dalam satu misi yang mulia sebagai menyahut seruan Allah seperti di dalam firman-Nya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan".

* Para doktor adalah bertanggungjawab ke atas penjagaan kesihatan sesebuah negara .. dan saling membantu di antara bidang-bidang kepakaran, dari segi pencegahan atau pengubatan, di sektor swasta atau perkhidmatan kerajaan .. kesemuanya mematuhi etika dan peraturan profesion mereka.

* Sebagai satu kumpulan profesional sesebuah negara, para doktor adalah bertanggungjawab merangka perancangan dan mengambil langkah dan mewujudkan tradisi dan peraturan yang perlu untuk membolehkan mereka secara kumpulan atau perseorangan menjalankan tugas sebaik mungkin.

* Di dalam semangat persaudaraan, seorang doktor mestilah menghormati rakan sejawatnya di belakangnya. Ia hendaklah menawarkan kepada rakannya nasihat dan/atau pertolongan bila diperlukan. Seorang doktor tidak boleh mengkhianati rakannya dengan mengumpat di belakangnya .. atau menyebut kekurangannya atau mencemarkan nama baiknya atau mempamerkan kelemahannya. Ia tidak sekali-kali mengkhianati saudaranya. Walau bagaimanapun ikatan ini tidak membebaskan seorang doktor dari berkata benar di dalam memberi keterangan perundangan atau di dalam membantu mencegah jenayah : seperti yang telah ditentukan oleh undang-undang.

* Perhubungan di antara doktor ialah satu perhubungan yang bantu membantu dan bukan pertentangan .. dan bekerjasama dengan ikhlas demi kepentingan pesakit. Jika lebih dari seorang doktor merawat seorang pesakit, maklumat perubatan tidak sepatutnya dirahsiakan di antara doktor yang merawat pesakit itu. Maklumat ini hendaklah diperkatakan dengan jelas atau ditulis dengan terang dan jelas. Maklumat ini hendaklah dirahsiakan dikalangan personel perubatan tanpa dibocorkan.

* Jika timbul kesangsian, adalah menjadi tanggungjawab doktor yang merawat (dan hak pesakit) supaya satu rundingan diatur atau kes itu dirujuk kepada seorang pakar. Amalan ini juga disebut didalam al-Quran: "Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui". Pakar yang dirujuk akan mengambil langkah yang difikirkan perlu .. tetapi akan memberitahu doktor yang merujuk perkembangan semasa dan juga seterusnya.

* Adalah menjadi tanggung-jawab seorang doktor untuk menyampaikan hasil pengalamannya, pengetahuan dan ketajaman kemahirannya kepada doktor yang lebih muda. Dia hendaklah bersedia untuk menyumbangkan khidmatnya di dalam pengajaran dan latihan .. kerana "Orang yang menyembunyikan ilmunya dikutuk", dan kerana ini adalah sahutan kepada hak rakan seperjuangan, pesakit dan profesion secara amnya dari satu generasi ke generasi yang lain. "Di dalam konteks ini kita patut mengingati sabda Rasulullah s.a.w "Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala hubungan kecuali tiga perkara: Amal jariahnya, ilmu yang telah dimanafaatkannya, dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan untuknya".

* Para doktor hendaklah sentiasa bekerjasama dan bersedia untuk membantu antara satu sama lain dengan serta-merta jika rakan atau keluarganya terkena sakit, atau di dalam hal-hal kesusahan, keperluan, kecacatan atau kematian.

* Pada zaman ini seorang doktor bukan lagi seorang individualis seperti zaman silam ... kerana perawatan perubatan sekarang memerlukan satu pasukan - selain dari doktor dan jururawat, juga diperlukan perkhidmatan makmal, fisioterapi, kebajikan perubatan, dan personel lain. Seorang doktor hendaklah memupuk semangat berpasukan dan kerjasama yang sempurna supaya pasukannya dapat menghasilkan perkhidmatan penjagaan pesakit yang terbaik.
* Kod ini meliputi juga kesemua personel dari semua peringkat di dalam semua bidang penjagaan kesihatan.

No comments:

Post a Comment