Friday, June 5, 2009

Pelaksanaan Program Perubatan Islam

Perlu ditekankan di sini bahawa amalan dan perkhidmatan perubatan masa-kini yang diamalkan oleh semua bangsa dan ugama di seluruh dunia ini memang telah mematuhi apa yang dituntut oleh ugama Islam. Amalan perubatan memerlukan penerapan nilai-nilai Islam dalam segala bidang walaupun kita akui tidak boleh mencapai ke tahap pengubatan yang ideal. Namun jika perubatan tidak boleh menyembuhkan, amalan perubatan Islam yang menyeluruh sekurang-kurangnya boleh memberi kepuasan kepada pesakit dan ahli keluarga yang terlibat. Justeru itu beberapa langkah perlu diambil untuk mencapai ke tahap ini.

1) Kuri-kulum Latihan

Kuri-kulum latihan doktor dan paramedik perlulah dikaji semula untuk menerapkan nilai-nilai Islam. Kadar kaedah perubatan yang lain (alternative medicine) perlu juga diajarkan pada para doktor dan perawat yang lain. Ini bertujuan untuk memberi ilmu serta pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap berbagai kaedah pendekatan rawatan.

2)Perkhidmatan Kesihatan

Kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan perlulah diubahsuai dengan menerapkan nilai-nilai Islam. Penekanan patut diberi kepada pencegahan penyakit dan mempromosikan penjagaan kesihatan diri mengikut panduan ugama serta sunnah Rasullullah.

3) Etika Perubatan Islam

Garis panduan etika perubatan Islam perlulah diamalkan oleh semua golongan perawat termasuk doktor, jururawat, therapist dan kakitangan kakitangan sokongan. Dari masa ke semasa mereka perlulah diingatkan tentang garis panduan etika ini.

4) Rangkaian Hospital dan Klinik Islam

Rangkaian hospital dan klinik Islam yang cemerlang perlulah dibina di seluruh negara. Saya percaya bahawa hospital Islam yang mempunyai ciri-ciri dan rekabentuk luaran dan hiasan dalaman yang sesuai dengan Islam akan menjadi tarikan kepada orang ramai. Hospital ini juga perlu dilengkapi dengan peralatan moden serta canggih dan dikendalikan oleh para doktor dan perawat yang mahir dan berwibawa yang sentiasa mematuhi garis panduan etika perubatan Islam. Jika rangkaian ini dapat diwujudkan tentulah “credibility” Islam, khususnya dalam bidang ilmu dan amalan kedoktoran akan meningkat bukan sahaja di kalangan orang Islam, tetapi juga di kalangan bukan Islam.

5) Sistem Pengurusan Hospital Islam

Satu sistem pengurusan Hospital Islam perlu diwujudkan. Setiap umat Islam sepatutnya berhak untuk mendapatkan rawatan yang tercanggih, terbaik dan terkini bagi mengatasi penyakitnya. Walau demikian rintangan dan kesukaran untuk mendapatkan rawatan tersebut adalah disebabkan oleh masalah kewangan khususnya di kalangan mereka yang kurang mampu. Oleh itu satu skim pembiayaan perlulah diadakan untuk menentukan setiap ummah boleh merasai rawatan yang terbaik. Skim ini boleh dilakukan dengan beberapa cara. Hospital atau klinik Islam yang menjalankan perniagaan secara komersial sepatutnya boleh menyalurkan balik sebahagian daripada keuntungannya untuk membiayai mereka yang kurang mampu. Sumber pembiayaan mungkin juga melalui sedekah dan zakat. Satu tabungan untuk pembiayaan kesihatan perlu diwujudkan di kalangan umat Islam. Saya percaya ramai hartawan, khususnya di kalangan korporat yang ingin menyumbangkan kepada tabungan untuk tujuan menjaga kesihatan ummah.

Satu lagi cara untuk mendapatkan sumber kewangan ialah menerusi saham wakaf kesihatan bagi umat Islam. Jika pembeli saham wakaf diberi pelepasan cukai pendapatan, saya percaya ramai akan membeli saham untuk tujuan amal jariah.

6. Insuran Kesihatan

Insuran kesihatan bagi umat Islam juga patut dipelopori dan ini boleh dilakukan menerusi potongan gaji, ataupun dilakukan secara mengambil polisi bagi mereka yang bekerja sendiri. Syarikat insuran yang berteraskan Islam seperti Takaful ataupun MNI Takaful, boleh mengambil bahagian dalam rancangan insuran kesihatan Islam.

Di zaman khalifah dahulu, banyak hospital-hospital yang terbaik didirikan oleh pemerintah Islam untuk tujuan amal jariah, mengabadikan perubatan Islam, serta mengembang ilmu serta amalan perubatan Islam. Disamping itu juga pemerintah boleh memberi khidmat kepada ummah melalui program kesihatan yang terbaik.

7. Penyelidikan, Penulisan dan Penjilidan

Untuk menggalakkan percambahan ilmu serta amalan perubatan Islam, satu strategi yang terpenting ialah menggalakkan doktor doktor dan ahli sains perubatan untuk menjalankan penyelidikan secara saintifik ataupun klinikal. Seterusnya hasil penyelidikan dan kajian patutlah dibentangkan dalam seminar-seminar ataupun kongres antarabangsa dan kemudian dibukukan dan dijilidkan untuk disebarkan dan diturunkan kepada satu jenerasi yang berikutnya. Dewasa ini doktor-doktor dan ahli sains perubatan sains amat ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan penulisan. Untuk mengekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan Islam, segala usaha patut ditumpukan untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan dan penulisan. Untuk mencapai ke objektif ini, peruntukan kewangan perlu diadakan bagi para penyelidik. Gabungan serta kerjasama di kalangan pakar-pakar penyelidikan di negara kita dan juga di seluruh dunia, khususnya di kalangan pakar-pakar Islam patut digalakkan dan dipertingkatkan.

8.Usahasama dan gabungan antara negara negara Islam dalam bidan perubatan

Untuk mencapai ke tahap cemerlang dalam ilmu dan amalan perubatan Islam, kerjasama dan gabungan di kalangan negara- negara Islam adalah sangat penting. Ini boleh dilakukan secara usahasama dalam bidang penyelidikan, perkembangan ilmu, pengurusan hospital, pembiayaan dan mengumpulkan dana dan sumber kewangan untuk projek hospital Islam. Seterusnya mewujudkan usahasama untuk membina kilang untuk mengeluarkan ubat-ubat yang halal bagi tujuan kegunaan semua negara negara Islam di seluruh dunia. Semua hospital-hospital di negara-negara Islam patut juga dirangkaikan supaya dapat bertukar tukar maklumat dan pengalaman melalui program Telemedicine.

Sumber : http://home.hamidarshat.com/PerubatanIslam.htm

No comments:

Post a Comment