Friday, June 5, 2009

Menganalisa Untuk Memastikan Punca Penyakit

Pada dasamya Islam (dibidang perubatan) menerima hakikat bahawa tanda-tanda zahir penyakit (symptoms) yang sama bukan bermakna punca dan sebab penyakit juga adalah sama.
Perhatikanlah apa yang Ar-Rasul sabdakan tentang darah istihadhah:

"Ia adalah berpunca dari saluran darah dan bukanlah ia darah haidh..."
(Bukhari dan Muslim)

Daripada ini jelas menunjukkan, walaupun seseorang wanita boleh mengalami keadaan keluamya darah daripada farajnya, akan tetapi sebabnya mungkin berbeza. Satu disebabkan oleh penyakit disaluran darah yang di panggil sebagai istihadhah dan sebab yang lain ialah haidh. (Diseases with the same symptoms but different causes).

Islam menekankan aspek memastikan punca penyakit untuk tiap-tiap penyakit terlebih dahulu sebelum diberikan ubat. Ini disebabkan, sekiranya ubat yang salah di berikan kepada pesakit, akibatnya lebih membahayakan daripada mendatangkan kemanfaatan. Oleh itu ubat yang diberikan mestilah mampu, dengan izin Allah, mengubati punca sesuatu penyakit (cause), bukan hanya mampu mengurangkan tanda-tanda zahir penyakit itu (symptomatic treatment).

Perhatikanlah sabda Ar-Rasul tentang penyakit yang dibawa oleh lalat:

"Jika terjatuh lalat di dalam bekas (air atau minuman) seorang di antara kamu, maka hendaklah dibenamkannya kemudian dikeluarkannya, kerana sesungguhnya salah satu daripada dua sayapnya mempunyai penawar dan sayapnya yang lain mempunyai penyakit."
(Bukhari)

Di dalam hadis ini, Ar-Rasul memberi isyarat tentang kepentingan menghapuskan punca penyakit dengan ubat yang tertentu. Ar-Rasul tidak menyuruh sahabat-sahabat Baginda membiarkan saja racun dari lalat itu dimakan dan kemudian apabila kelihatan tanda-tanda racun itu dibadan (symptoms), maka terus diubati sahaja tanda-tanda zahir itu. Akan tetapi Ar-Rasul menyuruh kita memusnahkan punca penyakit ini dari awal-awal lagi, dengan menyuruh sahabat- sabahat membenamkan lalat itu didalam bekas makanan ataupun minuman. Ini merupakan suatu peringatan tentang kepentingan memusnahkan punca penyakit di dalam usaha-usaha pengubatan.

Mengikut hadis yang lain riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi telah mengubati penyakit sihir yang menimpa Baginda dengan mengeluarkan bahan-bahan sihir daripada sebuah perigi dan kemudian membuangnya. Ini juga merupakan petanda bahawa pengubatan sesuatu penyakit mestilah bermula dengan memastikan puncanya terlebih dahulu dan kemudian menghilangkan atau memusnahkan punca atau penyebab sesuatu penyakit itu.

Lihatlah pula perkataan Imam Ibn Qaiyim tentang cara pengubatan penyakit pening:- "Dan cara pengubatannya berbagai-bagai kerana pelbagaian jenis dan sebab-sebabnya. Ada bentuk pening yang memerlukan pembuangan sesuatu benda dari badan. Ada yang memerlukan makanan-makanan (tertentu)..."

Perkataan Ibn Qaiyim menunjukkan kepada kita tentang kepentingan memastikan punca sesuatu 'symptom' (tanda penyakit) sebelum memulakan rawatan. Kesamaan'symptoms' penyakit-penyakit bukan bermakna kesamaan punca!. Lantas tidak salah bagi umat Islam mengujudkan makmal-makmal tertentu untuk memeriksa umpamanya, air kencing, air ludah dan sebagainya untuk memastikan punca sesuatu penyakit, sekiranya ini diperlukan. Begitulah juga diharuskan penggunaan X-ray, alat-alat ultrasounds dan lain-lainnya untuk menentukan sebab sesuatu penyakit ketika ini diperlukan.

No comments:

Post a Comment